KUANTAN 2 Ogos — Kira-kira 70 peratus golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sudah berjaya memperolehi pekerjaan sehingga ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata daripada 10,699 OKU yang berdaftar dengan JTK sehingga ini, 7,482 daripadanya berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan.
“Bagaimanapun, bilangan OKU adalah lebih daripada itu dan pihak kementerian akan berusaha untuk mencari pekerjaan yang sesuai buat mereka sekiranya mereka mendaftar degan JTK,” katanya ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Persatuan Pemulihan OKU (PPOKU) Pahang dan Karnival Pekerjaan OKU peringkat Pahang di sini, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom itu turut dihadiri Penaung Diraja PPOKU, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah.
Maznah turut menggesa majikan sektor swasta agar membantu kerajaan dalam mengambil sekurang-kurangnya satu peratus pekerja dari golongan berkenaan sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik dan usaha gigih mereka.
Sementara itu beliau berkata 134 usahawan termasuk 17 di Pahang memperolehi kelulusan mendapat Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU) bernilai RM5.5 juta dalam tempoh antara Januari dan Julai tahun ini.
Katanya dianggarkan 257 peluang pekerjaan disediakan menerusi usahawan yang menerima skim tersebut. - Bernama
No comments:
Post a Comment