Friday, August 1, 2008

Kami tidak diiktiraf sewajarnya


Penerima anugerah keberanian tertinggi negara SP Kanang merasakan beliau dan veteran perang lain tidak mendapat perhatian Kerajaan Negeri

KUCHING: Penerima tunggal anugerah keberanian tertinggi negara ‘Seri Pahlawan Gagah Perkasa’ (SP) dari Sarawak yang masih hidup, Kanang anak Langkau merasakan beliau dan veteran-veteran perang lain di nege-ri ini tidak diberi pengiktirafan sewajarnya di atas pe-ngorbanan mereka melindungi kedaulatan negara.

“Kerajaan Negeri langsung tidak melihat kami atau menimbang pengorbanan yang dibuat oleh askar-askar sekarang yang berusaha melindungi negeri dan juga negara,” katanya kepada pemberita di Hari Peringatan Pahlawan di Tugu Pahlawan Negeri dekat Muzium Negeri.

Kanang, yang dianugerahkan SP yang lebih tinggi dari pingat ‘Seri Maharaja Mangku Negara’ yang membawa gelaran ‘Tun’, melihat dirinya seba-gai contoh terbaik seorang veteran perang yang tidak diberi penghormatan sewajarnya.

Beliau berkata selain mene-rima elaun untuk anugerah SP dan juga ‘Panglima Gagah Be-rani (PGB)’, beliau tidak me-nerima sebarang bentuk bantuan lain daripada kerajaan.

Kanang dianugerahkan pingat SP yang setara dengan Victoria Cross di England pada 1981 dan pada 1980 beliau dianugerahkan pingat PGB, yang juga setaraf dengan George Cross, kerana keberanian beliau sepanjang tempoh pemberontakan.

Kedua-dua pingat dianugerahkan kepadanya oleh Kerajaan Persekutuan. Selain Kanang, dua lagi warga Sarawak yang dianugerahkan pingat SP selepas kematian mereka ialah Pegawai Waran SP Lenggu anak China dan SP Rosli Buang. Di seluruh negara, hanya terdapat 12 penerima SP.

“Saya tidak pasti sama ada rakan seperjuangan saya menerimanya atau tidak, tetapi saya memang tidak ada. Dan ini membuatkan ‘teh di sini rasa lebih pahit daripada manis’,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang menetap di Sri Aman sekarang, pantas menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakan veteran lain tidak mahu gelaran ‘Datuk’ tetapi hanya bantuan sewajarnya seperti menaikkan pencen yang diterima sekarang bagi membo-lehkan mereka menjaga ahli-ahli keluarga dengan baik.

Ketika bertugas sebagai askar di Perak, Kanang telah membunuh enam komunis dan dalam serangan tersebut, beliau ditembak tiga kali di bahagian dada dan perut.

Keberaniannya untuk melawan balik walaupun cedera, telah memberi semangat kepada rakan-rakan lain untuk terus berjuang bersamanya dan keberanian ini membolehkan beliau menerima anugerah.

Sementara itu, semasa majlis tersebut, beliau berkata hari itu adalah hari berkabung baginya, untuk semua rakannya yang telah terkorban dalam perang selain wira-wira yang gugur.

Kanang menganggap dirinya bernasib baik kerana selamat mengharungi peperangan untuk melihat anak-anak dan cucu-cucunya membesar.

“Mereka yang terkorban semasa perang meninggalkan isteri dan anak mereka, yang tidak berpeluang menikmati apa yang saya ada sekarang, demi melindungi negara,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato Sri Asfia Awang Nasar.
Beliau berkata bagi menghargai Hari Pahlawan dan apa yang dinikmati negeri sekarang, rakyat perlu memahami apa yang berlaku pada masa lalu dan pengorbanan yang dilakukan oleh para perwira.

“Untuk ini, generasi muda perlu memahami sejarah negeri berdasarkan fakta dan bukti sejarah,” katanya.
Sementara itu, Komander Briged Infantri Ketiga, Briged Jeneral Dato S Jeyabalan dalam kenyataan media berkata acara itu ialah acara tahunan tetapi sudah lama tidak diadakan di Kuching.

Pada kebiasaanya, sempenan sambutan ini, hanya kempen kutipan derma untuk Hari Pahlawan dilancarkan oleh Persatuan Bekas-Bekas Tentera.

Beliau berkata lebih banyak usaha perlu dipertingkatkan bagi memperingati wira-wira yang gugur semasa berjuang dalam perang dunia kedua, zaman darurat (1948-1960), zaman konfrontasi dan zaman pasca darurat sehingga 1989 dan maka itu, dari tahun hadapan, acara itu akan di-adakan setiap tahun.

Turut hadir di majlis ter-sebut, Komander Divisyen Infantri Pertama, Mejar Jeneral Dato Mazelan Kasap, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohammad Salleh, bekas-bekas tentera dan askar-askar sedang berkhidmat.