![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhFM4l3j3sxJxoFE29tCQrh4El4BO6IJQHXLTZlvdZSShJmCJvE9xN90p_N84IAPzEsv1SbTBR1dLseKhK0NgFgKnrRPTTwHHsJSY5rsr10H_v-vPrSdaEdm3mnyneAsFtY4vS6l072j3Q/s320/mh_02_big.jpg)
KORAT, Thailand – Temasya Sukan Para ASEAN ke 4 yang melabuhkan tirainya semalam secara rasmi menyaksikan kontinjen Malaysia mencapai kejayaan cemerlang dengan memperbaiki kedudukan keseluruhan untuk berada di tempat kedua.
Pada edisi ke-4 temasya berkenaan, Malaysia berjaya mengutip 81 pingat emas, 74 perak dan 46 gangsa, melepasi sasaran 80 pingat emas dan berjaya memperbaiki kedudukan keseluruhan daripada kedudukan ketiga di temasya 2005 di Manila dengan 78 emas, 41 perak dan 30 gangsa.
“Rakyat Malaysia patut berbangga dengan pencapaian atlet-atlet elit paralimpik negara. Mereka telah menunjukkan kemampuan mereka untuk berjaya dalam pertandingan antarabangsa,” kata ketua kontinjen Malaysia Liew Yoon Loy bagi menggambarkan prestasi atlet elit paralimpik secara keseluruhan.
Tuan rumah, Thailand terus gah dengan dengan 256 emas, 109 perak dan 84 gangsa. Vietnam pula di tempat ketiga dengan 78 emas, 66 perak dan 43 gangsa.
Sebelum ini, di temasya yang berlangsung di Hanoi, Vietnam (2003) dan Manila, Filipina (2005), kontinjen Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.
Bagaimanapun, jumlah sukan yang dipertandingkan adalah kurang daripada jumlah yang ditawarkan di sini iaitu 14 jenis sukan.
Bermula di Kuala Lumpur pada 2001, Sukan Para ASEAN hanya menawarkan dua jenis sukan iaitu renang dan olahraga. Jumlah itu ditambah kepada lima pada 2003 di Hanoi dan seterusnya 10 jenis sukan di Manila.
Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Ahmad Shapawi Ismail berkata, walaupun negara berjaya memperbaiki pencapaian keseluruhan di Manila tetapi berlaku kemerosotan dalam acara olahraga dan ping-pong kali ini, yang banyak disebabkan faktor teknikal
Katanya jumlah pungutan pingat emas dalam acara olahraga merosot daripada 47 di Manila kepada 37 di Korat, manakala ping pong pula merosot daripada lapan kepada hanya lima pingat emas
Secara khusus, pencapaian atlet paralimpik Malaysia di Sukan Para ASEAN dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sukan cemerlang, sukan yang memuaskan dan sukan yang masih gagal.
Antara sukan yang diletakkan sebagai sukan cemerlang ialah badminton, renang, catur, bola keranjang berkerusi roda, tenis berkerusi roda dan powerlifting.
Acara badminton, renang dan catur berjaya meningkatkan pungutan pingat emas, sementara bola keranjang berkerusi roda, tenis berkerusi roda dan powerlifting berjaya meningkatkan prestasi sukan masing-masing ke suatu tahap yang tinggi.
No comments:
Post a Comment