Saturday, February 2, 2008

Beri Peluang Pekerjaan Pada OKU

Beri peluang pekerjaan pada OKU - Jeanne

NIBONG TEBAL 1 Feb. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah mahu sektor awam dan swasta memberi peluang pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kelulusan yang dimiliki oleh orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Beliau, yang juga Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), berkata, sebagai masyarakat prihatin adalah menjadi tanggungjawab swasta untuk menerima golongan OKU seadanya serta memberi peluang kepada golongan itu untuk membuktikan kebolehan mereka.

''Golongan OKU juga mampu membuktikan kebolehan dalam apa jua bidang sebagaimana OKU, Dr. Ruziah Ghazali yang dianugerahkan Doktor Falsafah dalam bidang pengurusan latihan dan Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh dilantik sebagai senator pertama dari golongan OKU di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Semai Bakti Fasa Kedua Peringkat Kebangsaan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puteri Gunung Simpang Ampat di sini hari ini.

Pelancaran majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
PDK yang dirancang dalam fasa kedua ini memfokuskan kepada mewujudkan lebih banyak pusat tersebut di setiap Parlimen.

Ia akan membabitkan penyertaan semua isteri ahli Parlimen dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) secara langsung serta bekerjasama dengan organisasi dan badan kerajaan yang terlibat.

Menurut Jeanne, pelaksanaan program Semai Bakti fasa kedua menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup OKU.

Katanya, melalui program itu juga beberapa siri kursus akan dilaksanakan untuk membantu meningkatkan kemahiran guru-guru PDK.

Selain bantuan dan peruntukan khas yang diumumkan oleh kerajaan, beberapa program khidmat masyarakat akan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan sesebuah PDK.

"Saya berharap program ini akan berjaya mencapai matlamat untuk membantu golongan kurang upaya dengan meningkatkan taraf infrastruktur PDK dan kehidupan OKU ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

No comments: